Pengerusi Napoli, Aurelio De Laurentiis, memberikan penghargaan buat Marek Hamsik dengan memberitahunya bahawa dia sentiasa dialu-alukan di Stadium San Paolo walaupun pemain tengah itu dijangka berhijrah ke China.

Pengendali pasukan, Carlo Ancelotti, mengesahkan hujung minggu lalu bahawa Hamsik telah meminta untuk meninggalkan Napoli sambil wujud laporan dia akan menyertai Dalian Yifang semalam.

De Laurentiis tidak membuat sebarang pengumuman perpindahan itu ketika sidang media tetapi menjelaskan sebab untuk dia membenarkan ikon kelab itu berhijrah.

"Hamsik meminta untuk berpindah ketika bahagian tengah kami lebih daripada kukuh," kata De Laurentiis.

"Ia tidak akan memberikan kami masalah dan Ancelotti menyatakan persetujuannya.

"Terdapat jurang besar di antara warga China dan penduduk Napoli. Lihat sahaja nanti. Saya telah memberitahu Hamsik bahawa tempat ini adalah untuknya. Jika dia mahu kembali, kami sentiasa menerima.

"Ia satu kisah yang indah. Dia sentiasa menjalankan tugas kerana dia begitu sempurna.

"Anda mahu tahu segalanya tentang Hamsik tetapi kami tidak akan bercakap tentangnya. Tiada apa yang boleh diperkatakan mengenai masa depan Hamsik.

"Kini, kami bercakap tentang Trentino (kem pra-musim Napoli), kemudian beberapa hari akan datang kami akan membicarakan soal Hamsik."

Hamsik menyertai Napoli daripada Brescia pada Julai 2007 dan menyinar menjadi bintang Serie A apabila menghasilkan 100 gol liga dalam 408 penampilan.