Pertahanan import The Red Warriors (TRW), Cassio De Jesus, mahu terus meningkatkan prestasi diri dan membantu Kelantan kembali menjadi pencabar utama dalam memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Mengaku sedih dengan kegagalan tersingkir daripada Liga Super, De Jesus mahu kehadiran musim keduanya bersama TRW membawa tuah untuk kembali menebus imej yang tercalar.

"Secara peribadi, saya mahu terus meningkatkan prestasi dan membantu Kelantan mengharungi saingan sukar dalam Liga Perdana, musim ini," katanya.

Mengulas persembahannya semasa menentang Terengganu FC II dalam aksi persahabatan yang ditamatkan awal akibat hujan lebat, malam kelmarin, De Jesus yang juga bekas pertahanan Kelab Semen Padang, jelas berpuas hati sambil memuji kesungguhan yang ditunjukkan rakan sepasukan.

"Sudah tiga bulan berehat dan baru tiga hari jalani latihan bersama rakan pasukan, namun saya dapati semangat mereka cukup kuat.

"Kami menguasai separuh masa pertama dengan beberapa percubaan yang boleh menghasilkan jaringan.

"Skuad muda ini hampir sempurna dan jurulatih mahu mencari seorang lagi penyerang untuk melengkapkan kuota import pasukan," katanya.

Ditanya mengenai latihan yang dikendalikan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Jorg Peter Steinebrunner, De Jesus berkata semua pemain dapat menerimanya.

"Saya suka latihannya. Dia (Steinbrruener) sangat bagus dan cukup bermotivasi," katanya.