David de Gea menggambarkan kekalahan 0-4 Manchester United kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi sebagai sesuatu yang mengerikan sambil berkata dia bertanggungjawab atas kekalahan di London itu.

De Gea membenarkan sepakan lemah Josh Dasilva dari jarak 25 ela melepasi kawalannya untuk Brenftord memperoleh gol pembukaan sebelum hantaran buruk penjaga gol itu dalam mencari Christian Eriksen menyaksikan Mathias Jensen menjaringkan gol kedua tuan rumah.

Ben Mee dan Bryan Mbeum kemudian memastikan Brentford menjadi pasukan ketiga menjaringkan empat gol ke atas United hanya dalam babak pertama sepanjang sejarah EPL.

Ia juga bermakna United telah tewas empat perlawanan liga berturut buat kali pertama sejak Februari 1979 selain tewas tujuh perlawanan berturut-turut di laman lawan buat kali pertama sejak tewas 10 perlawanan berturut-turut sekitar September hingga Disember 1936.

"Sejujurnya, saya menyebabkan pasukan kehilangan tiga mata hari ini," kata De Gea kepada Sky Sports.

"Ia satu persembahan yang buruk daripada diri saya. Selepas kesilapan pertama dan kedua, ia menjadi amat sukat untuk pasukan bermain. Ia hari yang amat mengerikan.

"Kami sepatutnya memberikan reaksi dengan lebih baik. Saya sepatutnya menyelamatkan percubaan pertama mereka dan mungkin keputusannya akan berbeza.

"Ia hanya bergantung kepada bagaimana perlawanan ini berjalan, adakalanya saya perlu membaca perlawanan dengan lebih baik dan perlu melakukan hantaran jauh (sewaktu jaringan kedua).

"Saya cuba bermain pada ketika saya tidak sepatutnya melakukan hantaran kepada Chirstian. Kami bukannya seperti pasukan lain yang dibolosi sebelum menang 5-1 atau 6-1. Kerana itulah saya menjadi punca pasukan kehilangan tiga mata.

"Ia sepatutnya aksi menyelamat yang mudah, kami sepatutnya memberikan reaksi dengan jauh lebih baik dan boleh menjaringkan gol.

"Ia satu persembahan yang buruk. Lebih mudah untuk bermain sewaktu pramusim kerana anda bermain untuk tiada apa-apa.

"Apabila anda bermain dalam perlawanan penting, anda perlu lebih berani dan menjadi pemain yang lebih baik.

"Kesnya tidak seperti itu. Kami perlu lebih berusaha keras, bangkit, ia permulaan buat seorang pengurus baru dan masih banyak perlu diperbaiki," katanya.

United seterusnya akan menantikan kunjungan Liverpool di Old Trafford pada awal pagi selasa depan.