Bekas penjaga gol Manchester United, Mark Bosnich, mahu David de Gea bangkit daripada kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Portugal, dalam aksi seterusnya.

Kesilapan De Gea menghukum Sepanyol selepas gagal menampan keluar jaringan kedua Cristiano Ronaldo dalam aksi pembukaan Kumpulan B yang berkesudahan 3-3.

La Roja akan berdepan Iran -- pendahulu kumpulan yang meraih kemenangan 1-0 ke atas Maghribi di Kazan pada Rabu lalu -- sebagai medan terbaik De Gea untuk menebus kesilapannya itu.

Dalam sidang media pra-perlawanan semalam, pengurus Sepanyol, Fernando Hierro, menegaskan skuadnya tidak meragui De Gea.

Dan Bosnich, yang pernah beraksi untuk United, berharap pemain nombor satu The Red Devils itu akan kembali ke tahap terbaiknya.

"De Gea adalah penjaga gol yang berkualiti. Dia merupakan salah seorang penjaga gol terbaik dunia tetapi dia telah melakukan satu kesilapan yang besar dalam aksi terdahulu," kata Bosnich.

"Ia merupakan satu mimpi buruk penjaga gol. Dia berhak dikritik dan dia perlu bangkit daripadanya.

"Dia seorang pemain bertaraf dunia. Apabila seorang pemain sepertinya melakukan kesilapan, ia akan menjadi perbualan utama."