Bintang Manchester United, David de Gea, yakin akan terus memainkan peranan sebagai penjaga gol nombor satu kelab itu di celah-celah persoalan mengenai masa depannya.

Kedudukan De Gea dikritik hebat musim ini ekoran prestasi yang tidak tekal menerusi kesilapannya dalam kekalahan separuh akhir kepada Chelsea dalam saingan Piala FA di Wembley, bulan lalu.

Pemain meningkat naik, Dean Henderson, yang dipinjamkan ke Sheffield United selain statusnya sebagai bintang masa depan England mungkin akan kembali ke Old Trafford dan mencabar De Gea untuk merebut posisi utama.

Begitupun, De Gea, yang sudah memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Liga Europa, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Perisai Komuniti sejak tiba daripada Atletico Madrid pada 2011, yakin dengan kemampuannya untuk terus menyumbangkan kepada The Red Devils.

"Saya percaya kepada diri saya sendiri," katanya yang mempunyai kontrak bersama United sehingga Jun 2023.

"Sudah bertahun-tahun saya telah membuktikan kualiti dimiliki jadi saya sentiasa bersedia untuk dipertaruhkan pengurus.

"Saya sentiasa bersedia untuk beraksi dan berusaha membantu pasukan seperti biasa -- seperti yang saya sering lakukan."



Musim United berakhir dengan kekecewaan apabila mengalami kekalahan 1-2 kepada Sevilla dalam separuh akhir Liga Europa semalam.

Ia adalah kekalahan ketiga mereka di peringkat separuh akhir musim ini selepas terkandas dalam Piala FA dan Piala EFL.

Sementara itu, anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu berjaya meraih tempat ketiga EPL selain layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya rasa kami bertambah baik musim ini," kata pemain antarabangsa Sepanyol itu lagi.

"Pada suatu ketika kami ketinggalan 14 mata di belakang pasukan ketiga tetapi akhirnya kami berjaya merampasnya.

"Kami sepatutnya berhak beraksi dalam perlawanan akhir Liga Europa. Tetapi mungkin kami memerlukan sedikit pengalaman lagi dalam pasukan ini, kami perlu memanfaatkan peluang terhidang.

"Saya rasa persembahan kami cukup menarik dengan menerapkan bola sepak menyerang.

"Kami mahu terus meningkat, terus berjuang untuk kelab ini dan berusaha memenangi piala pada musim depan."