David de Gea melakukan kesilapan ketika Sepanyol mengharungi aksi persahabatan berdepan Switzerland pada Ahad lalu tetapi bekas pengurus Sepanyol,Vicente del Bosque, percaya bintang Manchester United itu adalah "penjaga gol yang sempurna".

De Gea merekodkan 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa bolos bagi musim 2017-18, sekali gus meraih Sarung Tangan Emas buat kali pertama.

Dia bagaimanapun gagal menghalang Switzerland di Villarreal apabila gagal menampan kemas rembatan Stephan Lichtsteiner yang membenarkan Ricardo Rodriguez menjaringkan gol untuk memastikan perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Di sebalik kesilapan yang dilakukan oleh pemain berusia 27 tahun itu yang bakal bersama La Roja ke Piala Dunia sebagai pilihan nombor satu, Del Bosque amat meminatinya.

"De Gea adalah seorang penjaga gol yang sempurna," katanya.

"Dia mampu menahan bola dengan baik menggunakan kakinya, sesuatu yang sangat penting. Prestasinya akan terus meningkat dan menjadi lebih baik.

"De Gea telah bermain untuk United selama lima hingga enam tahun dan telah banyak menimba pengalaman, sama seperti bersama skuad kebangsaan."

De Gea dan rakan sepasukan merupakan pilihan ketiga untuk menjulang Piala Dunia di Russia, sesuatu yang dijangka oleh Del Bosque yang menyaksikan Sepanyol mengharungi aksi kelayakan tanpa sebarang kekalahan.

"Mari kita lihat. Sepanyol telah beraksi dengan baik dalam saingan kelayakan.

"Mereka akan berdepan pasukan gergasi seperti Jerman, Perancis England, Argentina, Belgium dan kami perlu mempamerkan aksi yang lebih cemerlang berbanding mereka.

"Tiada resipi terbaik untuk bermain dalam Piala Dunia. Perkara paling penting adalah meneruskan apa yang telah dipamerkan sejak dua tahun yang lalu."