Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan, seorang demi seorang pemain Manchester United meluru ke arah wira penyelamat pasukan mereka.

Kali ini, wira tersebut bukanlah Cristiano Ronaldo tetapi David De Gea.

Harry Maguire adalah pemain yang pertama tiba, diikuti oleh Luke Shaw.

Beberapa detik kemudian, De Gea tenggelam diselubungi pemain berjersi biru putih.

Bahkan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer turut serta berlari ke padang untuk menyertai keraian.

Ia memerlukan satu usaha luar biasa untuk menyelamatkan penalti pada minit terakhir perlawanan, namun itulah yang dilakukan oleh De Gea untuk memastikan United mencatatkan sejarah 29 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan.

Rekod De Gea daripada segi sepakan penalti tidaklah mengagumkan, malah dia menerima kritikan pedas akibat kegagalannya menyelamatkan walau satu sepakan pun sewaktu perlawanan akhir Liga Europa pada bulan Mei lalu.

Menurut akhbar Daily Mail, sejak bulan April 2016, De Gea telah berhadapan sebanyak 40 sepakan penalti secara keseluruhan, untuk United dan juga untuk pasukan kebangsaan Sepanyol.

Kesemua 40 sepakan menemui jaring, tiada satu pun yang berjaya dihalang.

Namun, rekod itu tidak lagi bererti apa-apa kerana usahanya semalam menidakkan West Ham daripada merampas kemenangan 2-1 United, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat pasukan.

Jika De Gea adalah penyelamat, wira penjaring gol kemenangan pula adalah seseorang yang dicemuh dan diperli oleh dunia bola sepak beberapa hari lalu, Jesse Lingard.






Ironi.

Tindakan Solskjaer untuk memasukkan Lingard bagi menggantikan Ronaldo dalam perlawanan menentang Young Boys telah dikecam hebat, namun Lingard membuktikan bahawa kemasukannya kali ini merupakan keputusan paling tepat dengan satu gol yang cukup cantik sekali.

Satu lagi ironi, Lingard telah dipinjamkan kepada West Ham sejak bulan Januari tahun ini, di mana dia mencatatkan 16 kemunculan dan menjaringkan sembilan gol.

Sewaktu dia memanaskan badan sebelum perlawanan, penyokong West Ham mendendangkan sorakan yang berbunyi “Jesse Lingard, dia mahu pulang”, malah mereka memberikan tepukan gemuruh kepadanya sewaktu dia masuk pada minit ke-73.

Penyokong tersebut mungkin menyesali tindakan itu pada akhir perlawanan.

Dalam temu bual pasca perlawanan bersama Sky Sports, Lingard dipetik sebagai berkata: "Saya terharu dengan sambutan yang saya terima. Saya menikmati tempoh yang cukup menggembirakan di sini, tetapi sekarang ini saya sudah kembali menyarung jersi Manchester United dan haruslah memberikan usaha terbaik saya sepanjang masa."

Selain daripada aksi dua wira ini, Solskjaer juga pastinya gembira dengan prestasi Cristiano Ronaldo yang mencatatkan gol keempat dalam tiga kemunculan setakat ini.






Biarpun keputusan taktikalnya dijadikan bahan jenaka dalam perlawanan beberapa hari lalu, tiada sesiapa yang boleh mentertawakan hakikat bahawa seorang lagi pemain pengganti, Nemanja Matic, adalah orangnya yang melorongkan bola kepada Lingard untuk menjaringkan gol kemenangan.

Dalam temu bual bersama BBC Sport, ungkapan yang diberikan Solskjaer ternyata begitu tepat: "Inilah bola sepak - ada naik dan turunnya.

“Saya dan semua pemain lain harus membiasakan diri dengan hakikat ini. Sememangnya ia tidak baik untuk kesihatan jantung tetapi ini jugalah sebab utama kami berkecimpung dalam bidang ini."