David de Gea memberikan bayangan bahawa dia mungkin akan menghabiskan baki kariernya di Manchester United.

Penjaga gol itu menyertai United pada 2011 daripada Atletico Madrid, yang akan menjadi lawan The Red Devils dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Wanda Metropolitano awal pagi Khamis ini.

Sepanjang waktunya di England, De Gea telah berkembang daripada seorang bakat muda berpotensi kepada salah seorang penjaga gol terbaik di dunia.

Walaupun mengalami kemerosotan sepanjang beberapa tahun lalu, dia kelihatan telah menemui prestasi terbaiknya bagi musim 2021-22.

Berdasarkan data Opta, daripada kesemua penjaga gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya Kepa Arrizabalaga (Chelsea) dapat menyelamatkan lebih banyak gol (10.5) berbanding de Gea (7.9) dalam semua kejohanan musim ini.

Perlawanan awal pagi Khamis ini akan menjadi aksi pertama De Gea menentang Atletico sejak meninggalkan kelab Madrid itu lebih sedekad lalu dan perlawanan itu juga memberikannya peluang untuk mengenang pertaliannya dengan kelab berkenaan.



"Saya menggemari fakta bahawa saya lahir di Madrid tetapi pada akhirnya, ia hanya sebuah bandar," katanya kepada UEFA.

"Sekarang saya rasa seperti saya dari Manchester. Saya rasa seperti orang lain di Manchester. Di mana anda rasa disayangi dan di alu-alukan adalah rumah anda.

"Saya sudah berada di sini sejak bertahun-tahun dan amat jelas, apa-apa boleh berlaku dalam hidup ini, dalam dunia bola sepak ini tetapi sejujurnya, saya tidak lihat diri saya akan berpaling daripada Manchester United.

"Sudah pasti saya akan pulang ke rumah (untuk perlawanan ini), saya akan pulang ke kelab yang memberikan saya peluang untuk menjadi seperti hari ini. Tetapi ia hanya sekadar satu lagi perlawanan.

"Semua orang mahu bermain baik, kami mahu menang, ia perlawaan UCL. Sudah pasti saya mengucapkan selamat berjaya buat Atletico tetapi saya tidak tahu sama ada ia merupakan petanda baik atau petanda buruk.

"Semua orang akan turun ke sana untuk menang, terutama saya," katanya.

Kontrak De Gea bersama United akan tamat pada Jun tahun depan walaupun kelab itu mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi.

Komen terbarunya itu memberikan gambaran bahawa De Gea akan melanjutkan kontraknya untuk tempoh yang lebih panjang.

De Gea akan menjadi pilihan utama Ralf Rangnick untuk menjadi benteng terakhir United dalam perlawanan pertama di Madrid sebelum melayani kunjungan Atletico di Old Trafford pada 15 Mac ini.