Pengendali Belgium, Roberto Martinez, berkata persembahan Kevin De Bruyne dalam saingan Piala Dunia perlu diberikan pujian yang lebih tinggi.

De Bruyne menjaringkan gol yang menarik ketika Red Devils mengejutkan Brazil 2-1 di Kazan untuk bertemu Perancis dalam aksi separuh akhir.

Berikutan kebangkitan yang diraih ketika mengatasi Jepun 3-2 dalam pusingan 16, Martinez memilih untuk mengandingkan Maroune Fellaini dan Axel Witsel untuk mengisi barisan tengah bertahan dan melepaskan De Bruyne menyertai jentera serangan.

Ia dilihat sebagai persembahan yang menarik buat bintang Manchester City itu dalam temasya Russia 2018 tetapi Martinez berasakan usahanya ketika digandingkan bersama Witsel turut penting buat Belgium.

"Penghargaan terhadap persembahan De Bruyne sebelum aksi berdepan Brazil, tidak begitu adil," katanya.

"Sebelum ini, dia bermain sebagai perancang, berada dalam kawasan tengah pasukan dan membantu pemain-pemain melancarkan serangan.

"Bagi kami, dia merupakan pemain yang penting ketika berdepan Panama dan Tunisia, sama seperti aksi berdepan Brazil," ujarnya.

Martinez turut kagum dengan cara De Bruyne membaca permainan serta melakukan hantaran-hantaran berkualiti ketika menyerang dan bertahan.

"De Bruyne seorang perancang moden dan setiap gerak-gerinya agak pantas.

"Mungkin dia perlu lebih dihargai. Kami gembira kerana memiliki De Bruyne dalam pasukan ini.

"Dia boleh bermain di pelbagai posisi dan itu merupakan satu aset buat Belgium."