De Bruyne akan sertai Newcastle, kata Bruce

Muzaffar Musa
Jun 29, 2020 01:25 MYT
Newcastle United disingkirkan oleh Manchester City dalam Piala FA awal pagi tadi tetapi pengurusnya, Steve Bruce, menggemari apa yang disaksikannya.
Kevin De Bruyne jelas pemain paling berpengaruh ketika membantu City meraih kemenangan 2-0 di St James' Park awal pagi tadi, terutama ketika menjaringkan gol sepakan penalti selepas Gabriel Jesus dijatuhkan oleh Fabian Schar.
Jaringan itu membolehkan pasukan juara bertahan berkenaan meneruskan kemaraan ke separuh akhir sebelum Raheem Sterling memutlakkan kemenangan itu, tidak berapa lama selepas Dwight Gayle terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan dari jarak dekat.
Bekas bintang Manchester United, Bruce, kagum dengan aksi dipamerkan De Bruyne, yang turut menjaringkan gol ke atas skuad The Magpies itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada November lalu, sambil bergurau bahawa Newcastle akan menandatangani bintang tengah Belgium itu.
Dalam satu temu bual bersama media Man City selepas perlawanan itu, pengurus Newcastle, Bruce, dilihat muncul secara tiba-tiba sebelum merangkul De Bruyne sambil berkata: "Dia akan kekal di sini.
"Dia akan berada di sini, datang ke sini -- ini adalah pendedahan eksklusif daripada Newcastle malam ini.
"Dia sudah puas dengan Manchester City dan dia akan datang dan bermain dengan Newcastle," katanya.

Hang on a minute there, Steve! ? ? #ManCity pic.twitter.com/mzu0DTRTjP

— Manchester City (@ManCity) June 28, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bruce kemudian mengesahkan ketibaan pemain barunya, iaitu bekas penjaga gol Motherwell, Mark Gillespie, menerusi perpindahan percuma.
#Manchester City #Newcastle United #Kevin De Bruyne #Steve Bruce #Liga Perdana Inggeris