Pertahanan kiri Bayern Munich, Alphonso Davies, tidak dapat mengambil bahagian dalam latihan kerana mengalami sakit jantung yang tidak serius.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak menyertai Bayern sejak 17 Disember selepas disahkan positif COVID-19 awal bulan ini.

Davies sepatutnya kembali beraksi untuk juara Jerman minggu ini, tetapi pemeriksaan perubatan rutin menemui satu lagi masalah kesihatan.

Pengendali Bayern, Julian Nagelsmann, mengesahkan pada sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Cologne hari ini bahawa pemain kebangsaan Kanada itu akan diketepikan.

"Apabila kami melakukan pemeriksaan susulan yang kami lakukan dengan setiap pemain yang mempunyai COVID-19, kami mengesan tanda-tanda miokarditis ringan, keradangan otot jantung," katanya.

"Dia akan diketepikan sehingga diberitahu kelak. Dia tidak akan dapat beraksi dalam beberapa minggu akan datang.

"imbasan ultrasound menunjukkan miokarditis ini tidak begitu dramatik, tetapi ia adalah tanda miokarditis. Namun, ia perlu sembuh dan itu pasti akan mengambil sedikit masa."

Davies telah memulakan 22 daripada 27 perlawanan Bayern musim ini -- hanya Manuel Neuer (25), Thomas Muller dan Robert Lewandowski (kedua-duanya 26) bermain lebih kerap.