Pengendali Sarawak, David Usop, hari ini membuat keputusan mengejut dengan pengumuman "berehat" daripada mengendalikan skuad Ngap Sayot.

Bercakap dalam sidang media khas jam 2 petang tadi, David berkat, keputusan itu diambil sebagai memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk pasukan yang tidak pernah menang walaupun satu perlawanan di gelanggang sendiri.

Dia yang ditemani Pengarah Kejurulatihan Negeri, Abdol Wahet Uji, bagaimanapun tidak menyatakan tempoh masa rehat tersebut kerana kontraknya bersama pasukan Sarawak masih berbaki enam bulan.

"Saya cuma berehat, bukan mengundur diri. Ketika ini, tugas ini akan dipangku oleh pembantu saya, Pengiran Bala," katanya.

Sarawak kini berada di tangga ke-10 dengan mengutip 14 mata setelah bertarung 15 perlawanan.

Pada Mei lalu, Sarawak membawa masuk dua pemain import baharu, Milos Raickovic dan Sahil Suhaimi, bagi membantu meningkatkan kualiti permainan berikutan persembahan buruk Mark Hartmann dan Lee Jong-Ho.

"Ia keputusan yang ikhlas tanpa desakan atau dipengaruhi sesiapa.

"Saya memikirkannya ketika Sarawak tumpas 4-0 kepada JDT di Larkin.

"Kekalahan kepada Selangor 1-2 dan 1-3 kepada Felda United semalam memuktamadkan hasrat saya," katanya.

Abdol Wahet ketika diminta mengulas tindakan David berkata ia tindakan berani dan luar biasa.

"Ia dapat dilaksanakan kerana tanggungjawab. Saya kenal rapat dan mengenali perjuangannya.

"Lagipun, tindakan David bukan perkara baru. Dia sudah dua kali mengambil alih pasukan pada pertengahan musim; ketika Sarawak di bawah Robert Alberts dan tahun lalu, di bawah Datuk K. Rajagobal."

Kata Abdol Wahet, angin baru dibawa David ketika itu berjaya membawa pasukan Ngap Sayot kekal dalam Liga Super.

"Justeru, kami mengharapkan 'angin baru' yang sama.

"Kami juga berharap agar pasukan ini akan dapat pergi jauh dan menangani badi kekalahan," tambahnya.

Pada musim ini, David diarahkan oleh pengurusan untuk menggunakan 90 peratus anak tempatan Sarawak tetapi mengekalkan tiga pemain Semenanjung.

Bagaimanapun, dengan bajet yang terhad, David yang juga ketua jurulatih yang paling rendah gajinya dalam Liga Super hanya dapat memanggil uji pemain import bertaraf gred C.