Pengendali Sarawak, David Usop, masih mampu menarik nafas lega dalam menjayakan misi tiga mata di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini biarpun dibebani kehilangan dua tonggak pertahanan.

Ramesh Lai Ban Huat terlepas aksi sulung kerana masalah kecederaan manakala Hairol Mokhtar gagal dalam rayuan penggantungannya.

Hairol menerima kad merah selepas melawan pengadil dalam pertemuan suku akhir Piala Malaysia menentang Kedah pada musim lalu.

"Cuma berita baiknya, kami dapat menggunakan sepenuhnya khidmat pemain import, termasuk Mateo Roskam, yang dilaporkan ditimpa kecederaan sebelum ini," kata David.

Tambahnya lagi, beliau akan menggunakan "Plan B" bagi memberi tekanan kepada T-Team.

"Ia melibatkan perubahan corak permainan dan posisi, di samping menggunakan sepenuhnya kudrat pemain yang ada.

"Tiga mata pertama adalah penting untuk lonjakan motivasi, namun yang lebih utama adalah membentuk keserasian dalam kalangan mereka."

Empat pemain import baharu Sarawak pada musim ini ialah Roskam, Lee Jong- ho, Demerson Bruno Costa dan Mark Andrew Hartmann.

Dua daripada pemain ini hanya bersama-sama Sarawak kurang tiga minggu, berikutan proses pemilihan yang rumit serta kegagalan pemain import musim lalu, Teah Dennis, dalam ujian kecergasan.

"Saya berharap pemain-pemain tidak leka dan bijak mengambil setiap peluang yang ada.

"Tetapi yang paling penting ialah semua pemain perlu kekal fokus dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah."

Dari segi pengalaman, katanya, beliau tidak berasa bimbang kerana kesebelasan utama adalah dalam kalangan mereka yang pernah beraksi pada musim lalu.

“Saya berharap mereka dapat bermain mengikut pelan yang dirancangkan,” katanya.