Pengendali Sarawak, David Usop, mengharapkan aksi konsisten berterusan pasukannya dalam saingan Piala Malaysia apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Kumpulan D di Larkin, malam esok.

Skuad Sarawak tampil dengan semangat baru selepas kejayaan menewaskan Kelantan 2-0 dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, kelmarin.

Kini, David mahu barisan pemain menterjemahkan momentum sama apabila berdepan JDT.

"Liga Super dan Piala Malaysia sememangnya membawakan dua senario berbeza. Jadi, diharapkan selepas melakar kemenangan ke atas Kelantan tempoh hari, pemain dapat meneruskan momentum itu," ujarnya.

Sementara itu, Sarawak akan kembali diperkuatkan tonggak pertahanan dan kapten, Ronny Harun, untuk aksi di Larkin selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

Bagi Ronny, kehadiran awang import baru, Sahil Suhaimi dan Milos Raickovic berjaya menambah keampuhan pasukan mengharungi Piala Malaysia dan pusingan kedua Liga Super.

"Memang sangat membantu kerana dalam pusingan pertama Liga Super, ada kekurangan di bahagian tengah dan serangan. Jadi, saya mengharapkan kemasukan mereka akan membantu pasukan," katanya.