Nama Daudsu Jamaluddin pasti tidak asing buat peminat sukan bola sepak tempatan.

Buat anda yang merindui kelibat dan tertanya-tanya perkembangan terbaru bekas tonggak Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, dia kini sudah mula berjinak-jinak dengan arena e-sukan melalui usaha mewujudkan satu platform permainan videonya menerusi penstriman langsung.

Dalam satu temu bual bersama Wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, dia berkata: "Sebenarnya ia bermula secara santai dan untuk suka-suka sewaktu awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu. Sewaktu saya bermain permainan video, ada rakan menyarankan untuk saya melakukan penstriman langsung kerana ia juga boleh mendatangkan pendapatan.

"Untuk mencari penonton pula, nama besar boleh menjadi faktor juga kerana ia membantu anda untuk menarik penonton.

"Tetapi perkara itu bukanlah satu kelebiha kerana sebagai penstrim, kandungan yang kita buat itu lebih penting," katanya.

Daudsu juga tidak menolak untuk mewakili Malaysia di pentas e-sukan selepas ini.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki selepas ini apa salahnya.

"Lagipun, ia bukanlah pendapatan utama saya kerana saya ada melakukan pelaburan kecil-kecilan sebelum saya bersara dahulu, jadi ini hanyalah pendapatan sampingan.

"Untuk ke peringkat lebih tinggi mungkin agak sukar disebabkan faktor usia dan komitmen saya terhadap keluarga.

"Tetapi Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami.

"Jika saya boleh pergi lebih jauh, sudah pasti mereka akan menyokong saya.

"Insya-Allah, saya akan mencuba untuk berjinak-jinak untuk ke peringkat yang lebih tinggi," tambahnya.