Memasuki kempen musim baru, tiada siapa tahu apa harus dijangkakan daripada satu lagi era baru di Old Trafford.

Semestinya anda tidak akan temui sebuah pasukan yang lebih berjongkang-jongket daripada Manchester United.

Dengan figura seperti Paul Pogba sudah angkat kaki dan tampil pula ketibaan baru termasuk pengurus, Erik ten Hag, United tidak harus tertunggu-tunggu kejutan lebih besar.

Tewas perlawanan sulung kepada Brighton di Old Trafford, mereka seterusnya ketinggalan 0-4 pada rehat separuh masa di Brentford.

United benar-benar cacamarba.

Cristiano Ronaldo seakan-akan tidak wujud, bek tengah baru, Lisandro Martinez, digantikan pada separuh masa sambil kapten, Harry Maguire, tiada langsung keyakinan hingga pengulas televisyen, Gary Neville, mengumpamakan mereka dengan sebuah pasukan kanak-kanak bawah 9 tahun.





Ten Hag enggan langsung bertolak-ansur, termasuk menggugurkan Ronaldo, yang menyaksikan mereka bangkit menyahut cabaran untuk menundukkan Liverpool 2-1, disusuli kemenangan tipis di Southampton dan Leicester City.

Sejurus meleburkan rekod 100 peratus Arsenal dengan kemenangan 3-1 hasil dua gol Marcus Rashford pada 4 September, maka lengkaplah transformasi United daripada sebuah pasukan ditertawakan kepada pencabar persis juara.

Namun, seperti ditonjolkan kad laporan The Daily Mail setakat ini, rentetan empat kemenangan The Red Devils tidak harus menerbitkan harapan palsu kerana masih terdapat keretakan yang perlu ditampung segera oleh Ten Hag di samping dilema menurun atau merehatkan Ronaldo.

Andai United suatu ketika cacamarba, juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2021, Chelsea, pula sarat dengan kekalutan.




Di bawah pemilik baru, Todd Boehly, The Blues dibekalkan suku juta pound sterling dalam jendela perpindahan – seharusnya cukup untuk melonjakkan mereka bagi terus mencabar dari awal musim lagi.

Anehnya, perkara sebaliknya yang berlaku.

Dengan dua penyerang ‘flop’, Timo Werner dan Romelu Lukaku, sudah angkat bungkus, dan di tempat mereka didatangkan Raheem Sterling dan Pierre-Emerick Aubameyang, percaturan itu kelihatan ideal buat pengurus, Thomas Tuchel.

Satu kekalahan 0-1 kepada Dinamo Zagreb dalam UCL pada 7 September, bagaimanapun, cukup untuk menyaksikan Tuchel dipecat – kemuncak kepada rentetan kehambaran dalam EPL yang menyaksikan mereka hanya menang tipis ke atas Everton, Leicester City dan West Ham di samping tewas kepada Southampton dan Leeds.

Keluarnya Tuchel, masuk pula Graham Potter dari Brighton tapi hanya masa akan menentukan sama ada dia mampu melonjakkan semula Chelsea, yang pemain-pemainnya memiliki ego yang bukan kecil sejak bergelar juara Eropah menundukkan Manchester City 1-0 dalam final 2021.