Nama Muhammad Izzan Syahmi Mustapa mungkin masih asing dalam kancah bola sepak tempatan. Tetapi di negeri kelahirannya, pemain berusia 21 tahun itu sedang menempa nama bersama skuad Piala Presiden.

Kelahiran Kemaman, Terengganu, Izzan Syahmi mula mencuri perhatian tahun lalu ketika membantu kelab Real Chukai FC menjuarai Liga Amatur Terengganu (TAL) sebelum dipanggil menyertai Terengganu FC (TFC) III.

Persembahan meyakinkan bersama TFC III menyaksikan penyerang muda itu terpilih ke kem latihan pasukan B-23 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula hari ini dan Izzan Syahmi enggan menoleh ke belakang lagi.

"Tidak pernah terlintas di fikiran akan sampai ke tahap ini dan saya akan memberikan 100 peratus komitmen untuk terus kekal dalam skuad B-23, seterusnya beraksi dalam Sukan Asia.

"Walaupun masih di peringkat pemilihan, malah pemain-pemain lain dari pasukan Liga Super dan Liga Perdana, itu tidak mematahkan semangat saya dan saya percaya pada rezeki masing-masing," katanya.

Pertimbangan Kim Swee untuk tidak memanggil penyerang senior juga disambut baik Izzan Syahmi yang bertekad untuk berada dalam kesebelasan utama dengan perlawanan ujian pertama bertemu Felda United pada Jumaat ini.

Hal ini kerana beraksi di peringkat tertinggi bersama skuad negara merupakan impian seorang pemain bola sepak dan fokus Izzan Syahmi kini untuk membalas kepercayaan terhadapnya.

Selain misi Sukan Asia, dia turut meletak sasaran kejuaraan Piala Presiden, pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) selain peluang menyarung jersi Terengganu dalam saingan Liga Super.

"Saya mahu menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik dan yakin usaha serta kerja keras dalam latihan akan membuahkan hasil dibantu berkat doa ibu bapa.

"Tetapi buat masa ini, tumpuan saya akan diberikan sepanjang satu minggu kem latihan di Wisma FAM dahulu," ujarnya..