Pertahanan Juventus, Dani Alves, mahu mengelak daripada bertemu bekas kelabnya, Barcelona, dalam saingan Liga Juara-Juara kecuali dalam final.

Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan juara LaLiga itu musim lalu untuk menyertai Juve setelah menikmati lapan musim yang penuh kejayaan di Nou Camp.

Kemenangan 1-0 ke atas Porto menyaksikan Juventus melengkapkan kemenangan agregat 3-0 untuk menempah slot ke suku akhir UCL.

Bagaimanapun, Dani Alves tidak berminat untuk berdepan Barca, selepas mereka melakar kebangkitan yang mustahil ke atas Paris Saint-Germain (PSG).

"Saya tidak mahu berdepan Barcelona. Ia akan menjadi sesuatu yang pelik buat saya," katanya kepada beIN Sports.

"Jika saya perlu berdepan Barca, ia harus dalam perlawanan akhir."

Paulo Dybala menyempurnakan sepakan penalti buat Juve untuk menewaskan Porto yang beraksi dengan 10 pemain.

Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Borussia Dortmund dan Leicester City dan Juventus telah mengesahkan slot ke pusingan seterusnya, dengan Atletico Madrid dan Manchester City berkemungkinan menyertai mereka.