Barcelona telah mencapai persetujuan untuk menandatangani semula Dani Alves secara percuma selepas pemain itu meninggalkan Sao Paulo.

Pemain antarabangsa Brazil itu kembali sejak meninggalkan Camp Nou lima tahun setengah lalu selepas lapan musim menyarung jersi gergasi Catalan berkenaan, tetapi dia tidak akan dapat diturunkan sehingga Januari depan.

Alves memenangi 23 trofi sepanjang penggal pertamanya bersama Barcelona sebelum menyertai Juventus yang bertahan semusim, kemudian dua musim bersama Paris Saint-Germain sementara dua tahun terakhir lalu dengan Sao Paulo.

Kelibatnya dapat dilihat ketika Barca menumbangkan Dynamo Kiev 1-0 pada 3 November lalu dan malam tadi, kelab LaLiga itu mengesahkan pemain berusia 38 tahun tersebut setuju kembali sebagai ejen bebas.

Dua bulan selepas meninggalkan Sao Paulo berikutan pertikaian kontrak, Alves memeterai perjanjian dengan Barca yang akan berlangsung hingga akhir musim ini.





Kepulangan Alves berlaku seminggu selepas legenda kelab, Xavi, dilantik sebagai pengurus baharu Barcelona dan bekas rakan sepasukannya itu dilaporkan memainkan peranan besar dalam perpindahan mengejut berkenaan.

Pertahanan veteran itu membuat 247 penampilan buat Barca selepas dipancing daripada Sevilla pada 2008 dengan membantu kelab itu meraih enam gelaran LaLiga dan tiga mahkota Liga Juara-Juara dalam tempoh yang sangat gemilang.

Dia sempat membantu Barca mencatat 95 perlawanan tanpa bolos, terlibat dalam 78 gol (64 bantuan jaringan dan 14 gol) selain mencipta 377 peluang.

Produk akademi Bahia itu juga mengetuai Brazil memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos lalu yang dianggap sebagai pencapaian terbaik sepanjang kerjayanya yang menyaksikannya memenangi 42 trofi secara keseluruhan di peringkat senior bersama kelab dan negara.

Alves baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk menyertai sebuah kelab terkemuka bagi mendapatkan semula tempatnya dalam skuad Brazil selepas beraksi dalam 119 perlawanan apabila kali terakhir memperkuatkan jaguh Amerika Selatan itu menerusi kemenangan 2-0 ke atas Peru dalam kelayakan Piala Dunia, September lalu.