Legenda Liverpool, Kenny Dalglish, berpendapat sebelum ini sesiapapun yang meramalkan mereka terpaksa mengharungi tempoh 30 tahun tanpa gelaran liga pasti akan "ditangkap dan dicincang".

Kekalahan 1-2 Manchester City kepada Chelsea awal pagi tadi mengakhiri penantian The Reds selama tiga dekad untuk dinobatkan sebagai pasukan terulung di England buat kali ke-19, manakala skuad bimbingan Jurgen Klopp itu turut memiliki kelebihan 23 mata dengan baki tujuh perlawanan lagi.

Dalglish merupakan pengurus terakhir yang memimpin Liverpool menuju kejayaan dalam era yang menyaksikan kejuaraan liga adalah rutin di Anfield.

"Sekiranya anda mengatakannya, anda pasti akan ditangkap dan dicincang," katanya kepada BT Sport ketika diminta memberi reaksi terhadap kejayaan mereka mengakhiri kemarau itu sambil menghamburkan pujian tinggi terhadap Klopp.

"Kadang-kadang sesuatu boleh berlaku tetapi sejak Jurgen tiba, dia seorang yang hebat. Dia melambangkan semua yang diharapkan Liverpool.

"Kejuaraan ini bukan hadir sekali sahaja. Tahun lalu, mereka hanya satu mata dipisahkan dengan gelaran. Mereka telah memenangi Piala Dunia Kelab, Liga Juara-Juara (UCL) dan saya berasakan kami akan menempuhi hari yang lebih bahagia pada masa akan datang. "



Begitupun, bekas pengurus berusia 73 tahun itu berasakan seteru seperti City, The Blues dan Manchester United akan meningkatkan kualiti mereka, justeru adalah sukar untuk meneruskan dominasi.

Dia juga menyebut kegagalan City untuk menggantikan kapten berpengaruh, Vincent Kompany, pada musim ini sebagai elemen penting dalam penentuan gelaran itu berikutan benteng goyah skuad bimbingan Pep Guardiola berkenaan apabila ia sekali lagi dibuktikan di Stamford Bridge.

"Sangat sukar untuk menguasai EPL apabila anda mempunyai pasukan berkualiti seperti Manchester City," tambahnya.

"Masalah Manchester City sering terarah di bahagian pertahanan ekoran kehilangan Vincent Kompany. Saya tidak fikir mereka telah menggantikannya. Mereka memerlukan seseorang yang boleh menjadi pengganti kepada Vincent Kompany.

"Mereka mempunyai beberapa pemain hebat. Mereka akan kehilangan salah seorang pemain terbaik sebaik David Silva berhijrah pada akhir musim ini.

"Ada beberapa lagi pasukan hebat. Chelsea dan Man U akan beraksi pada musim depan. Jadi, saya rasa adalah sukar untuk terus mendominasi."