JUVENTUS 3 LAZIO 0

Massimiliano Allegri percaya pendekatan mental yang berbeza sangat penting buat Moise Kean berhubung prestasi mengagumkannya baru-baru ini.


Pemain antarabangsa Itali tersebut meledak dua gol Serie A pertamanya sejak Mac 2019 ketika membantu kelabnya itu melonjakkan ke tangga ketiga selepas membelasah Lazio 3-0 di Stadium Allianz, awal pagi tadi.

Kean kini mengumpul empat gol musim ini untuk menyamai pencapaiannya dalam 38 perlawanan terakhir liga.

"Dia jauh lebih seimbang daripada segi mental seperti ketika anda masih muda, dan dia sangat bersemangat, semuanya menjadi lebih baik," jelas pengurus itu kepada DAZN.

"Dia bekerja keras, beratnya kurang 5 atau 6kg berbanding musim lalu, anda boleh lihat dia kini mempunyai pendekatan mental yang berbeza."



Kejayaan ke atas Lazio adalah rentak kemenangan keenam Juve dalam Serie A menjelang Piala Dunia Qatar, justeru Allegri memuji usaha pemainnya.

"Mereka beraksi dengan baik, terutama selepas bulan yang sukar," katanya.

“Bukan mudah untuk menghadapi Lazio, kami mempunyai kesabaran untuk mengekang hantaran mereka, tidak memberikan ruang buat mereka hingga minit akhir.

"Hanya enam perlawanan lalu, tiada siapa percaya kami akan mendaki ke tangga ketiga, jadi ia satu langkah ke hadapan. Saya hanya boleh berterima kasih kepada pemain atas persembahan mereka."