Pemain tengah Kuantan FA, Andrezinho da Silva, menyifatkan tempoh bersama kelab itu dengan tidak dibayar gaji selama tiga bulan adalah pengalaman paling pahitnya dalam saingan Liga Malaysia.

Lantaran itu, dia berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan dapat membantu membela nasibnya dan rakan sepasukan lain.

Bekas pemain PDRM dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu jelas kecewa dengan tindakan pihak pengurusan Kuantan FA musim ini yang dikendalikan Marcerra United.

Bagi Da Silva, pihak pengurusan Marcerra hanya menabur janji yang tidak ditepati kepada pemain sejak awal musim ini.

Pemain kelahiran Brazil ini turut menjelaskan tindakan mereka tidak hadir dalam aksi Liga Perdana berdepan PDRM pada 15 April lalu juga adalah kerana mereka mengikut arahan pengendali pasukan, Ismail Zakaria.

"Ismail (jurulatih) memberi sokongan kepada kami dan apabila dia sedar perhatian tidak diberikan kepada kami seperti sepatutnya, dia membuat keputusan untuk kami tidak tampil ketika perlawanan.

"Terlalu banyak janji diberikan kepada kami. Pihak Marcerra masuk ke bilik persalinan dan berjanji akan menyelesaikan isu gaji kami dan semua orang mengharapkan ia ditunaikan tetapi situasi itu tidak berlaku," katanya.

Da Silva juga berasakan barisan Kuantan FA musim ini sebenarnya mempunyai potensi sebagai pasukan yang mampu memberi cabaran kuat dalam Liga Perdana walaupun mereka tidak mempunyai pemain berstatus bintang.

Namun, masalah gaji tertunggak membataskan potensi mereka.

"Saya ingin memberitahu pemain-pemain dalam skuad ini tidak terkenal di Malaysia tetapi mereka mampu bermain bola sepak dengan baik.

"Jika anda lihat ketika kami bertemu Pulau Pinang, pasukan yang menjalani latihan secara regular manakala kami hanya melalui tempoh selama empat hari mempersiapkan diri tanpa bantuan mana-mana pihak, kami tetap mampu meraih keputusan seri," tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, sedang menunggu keputusan daripada pihak MFL mengenai hukuman yang bakal dikenakan terhadap Kuantan FA.

"Kita perlu menunggu keputusan daripada pihak MFL kerana pasukan Kuantan adalah di bawah bidang kuasa mereka bagi membuat keputusan muktamad sama ada mereka kekal atau disingkirkan daripada liga.

"Sudah tentu kami berbesar hati untuk membantu pemain-pemain ini, terutama dalam usaha mendapatkan kelab-kelab lain. Jadi, sekiranya keputusan muktamad telah diputuskan oleh MFL, kami mungkin akan cuba memudahkan langkah mereka untuk pergi ke pasukan-pasukan lain," kata Yusoff.