"Saya beraksi dalam kesakitan," demikian luahan wira Perak, Gilmar da Silva, yang mendedahkan dia hanya mendapat pelepasan pada saat-saat akhir untuk beraksi menentang Pahang dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh, semalam.

Da Silva menjelaskan dia sebenarnya mengambil risiko turun membantu Perak ketika kecergasannya tidak berada pada tahap 100 peratus akibat kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, segala rasa sakit yang dilalui sepanjang perlawanan sudah tidak lagi dirasai oleh Da Silva sebaik meledak dua gol untuk membantu pasukannya melakar kemenangan besar 4-0 (agregat 5-3) ke atas pelawat.

"Saya ada masalah hamstring. Saya tidak bermain 100 peratus kerana masalah fizikal tetapi untuk Perak, saya perlu berjuang dan memberikan komitmen tinggi.

"Terima kasih kepada semua, rakan sepasukan dan penyokong. Saya sangat gembira hari ini," katanya selepas tamat perlawanan.

Bagi jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dia sama sekali tidak terfikir pemainnya mampu meraih kemenangan sebesar itu untuk memadamkan defisit dua gol (1-3) dalam suku akhir pertama.

"Sejujurnya, Pahang adalah pasukan yang baik. Mereka memiliki pemain tempatan yang baik. Mereka skuad yang bagus tetapi menjaringkan empat gol adalah sukar untuk dipercayai.

"Saya tidak fikir kami boleh menang 4-0. Persembahan ini sungguh hebat," katanya.

Sementara itu, wajah suram melanda kem Pahang, seolah-olah sukar untuk mempercayai keputusan itu.

Pemangku jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi, menyifatkan jaringan awal yang dicipta pasukan tuan rumah mengganggu perancangan taktikal Pahang pada awal perlawanan.

"Sedikit-sebanyak ia menggangu rentak pemain. Saya mengharapkan pemain boleh mengawal perlawanan tetapi apabila dihukum terlalu awal, ia sedikit-sebanyak merencatkan perancangan kami," katanya.