Danilo D'Ambrosio mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) di lutut kirinya dalam perlawanan menentang Sampdoria kelmarin, demikian disahkan Inter Milan.

Pertahanan itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-81 tetapi menghadapi terjahan keras daripada Mehdi Leris dalam waktu kecederaan.

Kaki pemain berusia 32 tahun itu kelihatan melengkung sewaktu menerima terjahan berkenaan dan dia turut dilihat sengsara menahan kesakitan sebelum pegawai perubatan membantunya berjalan keluar padang dalam kekalahan 1-2 itu -- Inter tewas buat kali pertama dalam sembilan perlawanan terakhir.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu semalam menjelaskan bahawa tahap kecederaan pemain itu akan dinilai selepas ujian kesihatan yang berikutnya.

"Keadaannya akan dinilai sekali lagi minggu depan," kata skuad Nerazzurri itu.

Perlawanan kelmarin merupakan penampilan ke-11 D'Ambrosio sepanjang musim ini, di mana empat daripadanya merupakan kesebelasan utama. Selaku pertahanan, dia telah menyumbangkan tiga gol sepanjang tempoh itu tetapi hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos.