Manchester City mendapat manfaat daripada kepercayaan yang ditanam dalam diri Pep Guardiola oleh legenda, Johan Cruyff, dedah pengurus juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

City telah menjulang tiga trofi sejak Guardiola tiba pada 2016 di samping masih kekal memburu empat gelaran musim ini.

City berpeluang memenangi trofi sulung musim 2019 apabila turun dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea tengah malam ini selain menduduki tangga teratas liga dan mara ke peringkat suku akhir Piala FA, malah sebelah kaki ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) apabila menundukkan Schalke 3-2 di Jerman, Khamis lalu.

Guardiola memberi penghormatan itu kepada mentornya, Cruyff, menjelang aksi final di Wembley dengan memuji bekas pengendali Barcelona itu yang memberi pendedahan kepadanya mengenai cara untuk menang.

"Saya banyak belajar daripada beliau," kata Guardiola kepada pemberita. "Bukan setakat taktik, malah dalam pendekatan permainan.

"Bahkan di seluruh Barcelona itu sendiri -- ketika tinggal di Barcelona, ​​Cruyff banyak membantu kami, termasuk hubungannya dengan media untuk membuatkan mereka juga berasa betapa penting.

"Beliau membuatkan mereka percaya bahawa kami adalah bagus dan ramah. Kami adalah sebuah kelab yang baik dan kami boleh melakukannya.

"Saya fikir ia adalah pendekatan terbaik -- anda tidak boleh memenangi sesuatu jika anda tidak percaya kemampuan untuk melakukannya. Anda tidak boleh menang apa-apa jika anda tidak percaya 'saya bagus, saya cukup kuat untuk bersaing di mana-mana sekalipun'. Ia merupakan langkah pertama."

Guardiola mengiktiraf pengaruh Cruyff berikutan dominasi Barca kebelakangan ini, baik di tempat sendiri mahupun di peringkat Eropah.

Beliau menambah: "Johan Cruyff banyak membantu kami. Di akademi Barcelona, mereka menerapkan pemikiran adalah tidak baik untuk kalah. Anda perlu menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan berjuang dalam setiap sesi latihan, perlawanan persahabatan serta kompetitif untuk terus menang.

"Bagaimanapun, Barca ketika itu bukanlah seperti 10-20 tahun lalu yang memenangi banyak kejuaraan. Kami sebuah pasukan yang mantap tetapi bukanlah daripada sudut kemenangan konsisten.

"Cruyff telah menunjukkan jalannya untuk kami memahami bagaimana rasanya untuk terus mencatat kemenangan. Usah berhenti daripada terus dahagakan kejayaan.

"Ia banyak membantu kami mengubah mentaliti Barca," ujarnya.