Cristiano Ronaldo memuji karakter yang ditonjolkan Manchester United yang tidak mudah luntur semangat selepas gol kemenangan lewat ketika menundukkan Atalanta 3-2 dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

United ketinggalan 0-2 ketika memasuki separuh masa kedua apabila dihukum oleh Pasalic dan Merih Demiral sebelum mempamerkan kebangkitan dalam pertembungan Kumpulan F di Old Trafford itu dan bintang Portugis tersebut sekali lagi menjadi wira pasukannnya menerusi jaringan pada minit ke-81.

Gol kemenangan itu menyusul selepas sentuhan pemusnah Marcus Rashford dan Harry Maguire untuk mengimbangi kedudukan.

Buat kali ketiga The Red Devils memenangi perlawanan di pentas berprestij Eropah itu selepas ketinggalan dengan dua gol bagi mencatat pencapaian sama dengan Arsenal.

"Ya! Theater of Dream sedang membara! Kami masih hidup!," tulis Ronaldo di saluran media sosialnya.

"Kami adalah Man. United dan kami tidak pernah menyerah! Ini adalah Old Trafford!"




Pemain berusia 36 tahun itu sudah menyumbangkan enam gol dalam lapan penampilan sejak dibeli daripada Juventus pada Ogos lalu dan kini perlu melakukan persiapan untuk menghadapi Liverpool, Ahad ini.