Paul Pogba menjangkakan tahap kualiti dan harapan di Manchester United akan meningkat susulan kembalinya Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.

Perpindahan sensasi Ronaldo disempurnakan menjelang akhir jendela perpindahan sambil seteru jiran, Manchester City, turut muncul sebagai pilihan untuk mengikat kapten Portugal itu.

Pemain berusia 36 tahun itu akan menjalani persiapan untuk kemunculan penggal kedua bersama United ketika pasukan asuhan Ole Gunnar Solskjaer berkenaan berdepan Newcastle United, Sabtu ini, yang pernah menyaksikan Ronaldo melakar satu-satunya hatrik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lantaran itu, Pogba seronok dengan potensi beraksi di samping pemenang lima Ballon d'Or tersebut yang dinobatkan sebagai penjaring terulung di peringkat antarabangsa ketika mencetak dua gol dalam kemenangan Portugal 2-1 ke atas Republik Ireland, minggu lalu.

"Memang sentiasa seronok beraksi dengan yang terbaik. Ini adalah kelebihan bagi pemain untuk dapat berlatih dengan pemain handalan," kata Pogba kepada Telefoot.

"Dia akan meningkatkan tahap pasukan ini."

Ronaldo menghabiskan karier di Old Trafford di antara 2003 dan 2009 dengan menyumbangkan 118 gol dalam 292 penampilan untuk memenangi tiga gelaran EPL dan mahkota Liga Juara-Juara (UCL) sebelum berubah angin ke Real Madrid.





Bukan hanya di bahagian serangan sahaja United telah bertambah baik, ini kerana kemasukan juara Piala Dunia, Raphael Varane, juga mampu mengukuhkan benteng tengah skuad kendalian Solskjaer itu.

Pada usia 28 tahun, Varane kini berada di puncak kariernya selepas meninggalkan Madrid pada Julai lalu dengan perpindahan itu rasmi diselesaikan pada 14 Ogos lalu apabila membuat kemunculan pertama dalam dalam kemenangan 1-0 ke atas Wolves apabila mencipta bantuan jaringan untuk gol tunggal perlawanan menerusi Mason Greenwood.

Ketika dalam kancah Sepanyol, Varane memenangi tiga trofi LaLiga selain menikmati empat kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak empat kali, malah turut memenangi Piala Dunia 2018 dengan Perancis.

Pogba juga merupakan sebahagian kejayaan di Russia itu dan sedar kualiti yang mampu ditawarkan Varane.

"Kedatangan Raph adalah positif bagi kelab, kami mempunyai hubungan yang baik, kami saling mengenali sejak sekian lama," sambung Pogba.

"Saya gembira kerana dia bersama kami di Manchester bagi menawarkan pengalaman dan kualitinya."

Varane mempamerkan prestasi yang memuaskan dengan mematahkan lima serangan lawan, satu terjahan bersih dan memenangi empat daripada lapan pertembungan yang dihadapinya.