Cristiano Ronaldo berkata bahawa dia sudah mencapai sasarannya bersama pasukan gergasi Serie A, Juventus, pada ketika timbul desas-desus mengenai masa depannya.

Ronaldo dikaitkan dengan kepulangan ke bekas pasukannya, Manchester United dan Real Madrid, selain Paris Saint-Germain (PSG) selepas Juventus hampir terlepas empat slot teratas Serie A sebelum mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Pemain berusia 36 tahun berkenaan -- yang masih mempunyai kontrak bersama skuad Bianconeri itu sehingga 2022 -- mencipta sejarah selepas menamatkan musim ini selaku penjaring terbanyak liga dengan 29 gol, lima jaringan melebihi penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku.

Ronaldo, yang telah memenangi dua Scudetto, dua gelaran Supercoppa Italiana selain satu trofi Coppa Italia sejak berpindah ke Turin pada 2018 tetapi gagal memenangi gelaran UCL, menjadi pemain pertama menamatkan musim selaku penjaring terbanyak dalam tiga liga berbeza, iaitu Serie A, LaLiga dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kapten Portugal dengan lima Anugerah Ballon d'Or itu menyemarakkan spekulasi mengenai masa depannya menerusi satu kiriman media sosial malam tadi.

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)


"Hidup dan karier seorang pemain ada naik dan turun," tulis Ronaldo dalam Instagram.

"Tahun demi tahun, kami berdepan pasukan yang hebat, dengan pemain yang luar biasa dan sasaran yang tinggi, jadi kami sentiasa perlu memberikan yang terbaik untuk mengekalkan diri kami di tahap cemerlang.

"Tahun ini, kami tidak dapat memenangi Serie A, tahniah kepada Inter kerana anda layak memenangi gelaran itu.

"Bagaimanapun, saya sudah menilai segala-gala yang kami capai di Juventus, sama ada secara kolektif atau individu. Kejayaan dalam Piala Super Itali, Piala Itali dan penjaring terbanyak Serie A membuatkan saya amat gembira, terutama dengan kepayahan yang kami hadapi dalam mendapatkannya, di sebuah negara yang tiada apa-apa yang mudah untuk dimenangi.

"Dengan kejayaan ini, saya sudah mencapai sasaran yang telah saya tetapkan buat diri saya sejak hari pertama saya tiba di Itali: untuk memenangi kejuaraan, piala dan Piala Super, dan juga menjadi pemain terbaik dan penjaring terbanyak di negara yang dipenuhi dengan pemain yang hebat, kelab gergasi dan budaya bola sepak tersendiri.

"Saya pernah katakan yang saya tidak mengejar rekod tetapi rekodlah yang mengejar saya. Buat mereka yang tidak faham apa yang saya maksudkan, ia amat mudah: bola sepak adalah sukan secara kolektif tetapi ia melalui individu yang merealisasikannya di mana kami membantu pasukan kami untuk mencapai sasaran.

"Ia sentiasa memerlukan sesuatu yang lebih dan lebih di atas padang, berusaha lagi dan lagi di luar padang, rekod itu kemudian tiba dan gelaran secara kolektif dapat diraih, adakalanya ia hadir secara semula jadi dengan kedua-duanya.

"Jadi, saya amat berbangga dengan fakta yang dihasilkan beberapa hari ini: Juara di England, Sepanyol dan Itali; pemenang piala di England, Sepanyol dan Itali; pemain terbaik di England, Sepanyol dan Itali; penjaring terbaik di England, Sepanyol dan Itali; lebih 100 gol buat kelab di England, Sepanyol dan Itali. Tiada apa dapat dibandingkan dengan perasaan dapat mengetahui bahawa saya telah meninggalkan sejarah saya di negara-negara yang saya bermain, dan saya telah memberikan kegembiraan buat penyokong dan kelab yang saya wakili.

"Inilah apa yang diusahakan saya, inilah yang mendorong saya dan inilah yang saya sentiasa terus mengejar sehingga hari terakhir.

"Terima kasih buat semua yang mengambil bahagian dalam pengembaraan ini, kita berada di sini bersama-sama," katanya.