Auckland City memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Piala Dunia Kelab 2020.

Kelab New Zealand itu merupakan wakil Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC) bagi kejohanan di Qatar berkenaan yang bakal bermula pada 1 Februari depan.

Namun, langkah kawalan pergerakan oleh kerajaan negara itu bagi mengekang penularan COVID-19 menjadi punca Auckland menarik diri.

Mereka sepatutnya akan menghadapi Al-Duhail dalam perlawanan pembukaan.

Satu kenyataan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbunyi: "FIFA hari ini diberitahu oleh Auckland City FC bahawa berdasarkan pandemik COVID-19 dan langkah kawalan pergerakan yang ditetapkan pihak berkuasa New Zealand, kelab ini tidak dapat menyertai Piala Dunia Kelab 2020.

"Walaupun FIFA berusaha berunding dengan kelab, Peratuan Bolasepak New Zealand dan OFC dalam beberapa hari terakhir, syarat-syarat pihak berkuasa New Zealand dalam prosedur pengasingan dan kuarantin melampaui jangkaan FIFA, lantas jalan penyelesaian tidak mungkin dapat dicapai.

"FIFA bersama dengan pihak berkuasa Qatar, akan melaksanakan protokol perubatan dan keselamatan komprehensif iaitu menyediakan perlindungan yang diperlukan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua orang yang terlibat dalam kejohanan ini.

"Selepas penarikan Auckland City, Piala Dunia Kelab 2020 akan dibarisi Al-Duhail SC, Al Ahly SC, FC Bayern Munich, Ulsan Hyundai FC, Tigres UANL dan juaraCONMEBOL Libertadores yang bakal ditentukan pada 30 Januari depan.

"Berikutan tiada lagi pusingan pertama maka Al-Duhail SC bakal memulakan kempen dalam pusingan kedua. Format pertandingan tidak berubah.

"Majlis undian bagi menentukan pencabar akan dilangsungkan di Zurich pada Selasa ini."