Anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) akan memperuntukkan dana sebanyak €236.5 juta (RM1.1 bilion) dalam usaha membantu kelab "bagi menghadapi cabaran novel koronavirus (Covid-19)".

55 anggota gabungan itu akan menikmati suntikan dana berjumlah €4.3j (RM20.28j) yang dibayar sepanjang musim ini dan berikutnya untuk digunakan mengikut kesesuaian masing-masing.

Wang itu dibiayai yayasan persatuan Eropah itu, HatTrick, yang lazimnya digunakan untuk membantu perbelanjaan menguruskan liga selain aspek domestik.

UEFA sudah memuktamadkan langkah itu untuk membolehkan persatuan menggunakannya berdasarkan kesesuaian masing-masing tatkala hampir semua aktiviti bola sepak masih tidak dapat dilangsungkan di benua itu.

"Sukan kita ini sedang menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi akibat krisis Covid-19," kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, dalam satu kenyataan semalam.


"UEFA ingin membantu setiap anggota sendiri dalam usaha bertindak balas dengan cara yang sesuai berhubung kekangan tertentu yang mereka hadapi.

"Oleh itu, kami telah bersetuju dengan peruntukan setinggi €4.3j kepada setiap anggota dan ia akan dibayar dalam baki musim ini dan berikutnya selain ia boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada pelaburan. Ia boleh digunakan mengikut kesesuaian setiap anggota kami dalam membangunkan kembali komuniti bola sepak mereka.

"Saya percaya ini adalah satu keputusan yang bertanggungjawab demi membantu mereka dengan sedaya upaya, dan saya bangga dengan kesepakatan yang ditunjukkan keluarga bola epak sepanjang krisis ini.

"Tidak syak lagi, bola sepak akan menjadi nadi untuk kehidupan kita kembali normal. Apabila tiba waktunya, bola sepak perlu bersedia untuk menggalasnya."