Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memilih untuk buat tinjauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa premis.

Antara yang dilawat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini adalah Kelab Golf Glenmarie, Stadium Bola Sepak UiTM dan Sports Arena di Jalan Klang Lama.

Tiga tempat ini mewakili tiga sukan yang telah diberi kebenaran untuk kembali beroperasi pada Khamis lalu iaitu golf, badminton dan bola sepak.

Reezal amat berpuas hati dengan pematuhan SOP di premis itu yang diterapkan kerajaan serta memuji beberapa inisiatif mereka tersendiri bagi memastikan keselamatan komuniti sukan.

"Ada premis sukan yang lebih ke hadapan dengan meletakkan semua senarai nama kakitangan, bila tarikh kali terakhir dibuat dan keputusan ujian calitan mereka dikeluarkan.

"Ia sekurang-kurangnya memberi keyakinan kepada pengunjung dan saya harap ramai boleh mengamalkannya walaupun ia bukan satu syarat wajib," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

KBS ingin menjelaskan bahawa, aktiviti sukan bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw dibenarkan hanya...

Posted by KBSMalaysia on Saturday, February 13, 2021


Reezal juga memberi penekanan terhadap aspek latihan kemahiran kendiri sukan berpasukan dan sukarelawan Rakan Muda di gelembung sukan yang akan memantau SOP premis-premis berkenaan.

"Sukarelawan gelembung sukan ini merupakan pemerkasaan komuniti yang lebih berkesan.

"Kebanyakkan daripada mereka mempunyai pekerjaan tetapi (menawarkan diri) sebagai sukarelawan.

"Daripada 4,000 yang disasarkan, setakat ini seramai 2,311 sukarelawan sudah berdaftar selepas ia dibuka tidak sampai seminggu.

"Saya lihat kehendak penggiat-penggiat sukan ini amat tinggi."