Keajaiban yang diharapkan tidak berlaku.

Terengganu dan Kedah Darul Aman sah terlepas penyertaan dalam saingan Piala AFC ekoran ketiadaan penganjur untuk zon ASEAN dan selatan.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor John, ia adalah keputusan yang berat namun badan induk benua itu tidak memiliki pilihan lain.

"Pembatalan Piala AFC di zon ASEAN menjadi satu berita yang sedih buat AFC kerana matlamat kami adalah untuk memberi peluang kepada kelab-kelab untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

"Kami terpaksa terima hakikat ini kerana tiada tawaran untuk menjadi tuan rumah oleh mana-mana pasukan yang bertanding.

"Kami sedaya upaya mencari venue berkecuali tetapi tidak berhasil," katanya.




Semalam, timbul kekeliruan apabila AFC membuat penambahan pasukan dalam Kumpulan I yang melibatkan Visakha FC dari Kemboja dan Lalenok FC dari Timor Leste yang dianggap sebagai petanda berita baik.

Namun, tiada sebarang kesanggupan daripada pihak Timor Leste mahupun Kemboja untuk menjadi tuan rumah, sekali gus pembatalan kejohanan itu diputuskan hari ini.

"Hingga semalam, kami masih belum mendapat pengesahan pasukan yang baru (terdiri daripada wakil) play-off.

"Tetapi hari ini kami baru mendapat berita bahawa mereka tidak mampu menjadi tuan rumah.

"Jadi kami mengambil keputusan muktamad (seiring) dengan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan dan Eksekutif AFC yang lalu untuk membatalkan kejohanan ini."