Union Berlin mengumumkan skuad utama dan staf pasukan telah bersetuju untuk menolak gaji dalam usaha membantu kelab ketika tempoh wabak coronavirus.

Kelab Bundesliga itu -- yang beraksi di pentas tertinggi buat kali pertama musim ini -- sedang mengira kos tidak beraksi tatkala saingan domestik di Jerman ditunda sejak 13 Mac lalu akibat COVID-19.

Staf pasukan juga bersetuju untuk menerima potongan gaji sambil seluruh pasukan bersatu ketika tempoh krisis itu memandangkan kempen tidak akan bersambung sehingga Mei depan.

Selasa lalu, Liga Bolasepak Jerman (DFL) mengesahkan penangguhan Bundesliga dan 2.Bundesliga akan dilanjutkan sehingga 30 April depan.

"Ini adalah pengecualian yang perlu kami hadapi," kata presiden kelab, Drik Zingler.

"Tujuan kami adalah bola sepak. Jika ia dihentikan, ia akan memberi kesan.

"Pihak pengurusan, staf, pemain serta semua pekerja telah bekerja keras sebelum ini untuk memastikan saingan Bundesliga berjalan lancar. Kini, mereka menolak bayaran penuh untuk menghadapi krisis ini bersama-sama.

"Tindakan ini perlu diberikan pujian buat semua yang terlibat. Daripada pihak pengurusan kelab, saya mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan.

"Sebagai kelab, kami menghadapi cabaran dan hasil terbaik boleh diraih sekiranya semua bersatu."

Union kini di landasan terbaik untuk kekal setahun lagi dalam Bundesliga memandangkan mereka sedang menduduki tangga ke-11, mengutip 30 mata daripada 25 perlawanan.