Benoit Paire menjelaskan dia telah mendapat keizinan doktor untuk bertanding dalam Kejohanan Tenis Terbuka Eropah di Hamburg walaupun dua kali diuji positif COVID-19.

Pemain nombor 25 dunia itu menarik diri dalam aksi pembukaannya berdepan Casper Ruud semalam selepas tewas dalam set pertama.

Dia menyertai kejohanan keduanya itu sejak menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) akibat positif pandemik berkenaan bulan lalu, selain gagal melepasi rintangan pertama Terbuka Antarabangsa Itali minggu lalu.

Bercakap selepas tersingkir daripada kejohanan di Jerman itu, Paire menjelaskan bahawa dia telah mengasingkan diri di penginapan hotelnya sebelum perlawanan terbabit dan hanya dibenarkan berlatih selama sejam tetapi diberi lampu hijau untuk bertanding.

"Saya menghabiskan selama 10 hari lalu di sebuah bilik hotel, termasuklah ketika Terbuka AS dan sekali lagi saya perlu melaluinya," katanya.

"Saya berasa letih. Saya dibenarkan berlatih selama sejam kemudian kembali ke hotel - ia sukar untuk dilakukan. Saya keletihan dan terpaksa berhenti berlatih.


Diminta untuk menjelaskan apakah dia kembali dikesan positif ketika berada di Hamburg, Paire menjawab: "Ya, saya positif di Hamburg sejak saya tiba. Satu-satunya ujian negatif yang saya dapat adalah semalam.

"Sebelum itu, dua kejohanan berturut-turut saya didapati positif. Tetapi peraturannya kelihatan berbeza di sini. ATP harus menjelaskan apakah peraturan yang sebetulnya. Kalau di Paris, pemain yang diuji negatif tetapi oleh kerana jurulatihnya pula positif, jadi mereka tidak boleh menyertai kejohanan.

"Sebaliknya di Jerman ini, anda positif dan dibenarkan beraksi. Sekali lagi terima kasih kepada pengajur kejohanan ini dan doktor di Hamburg kerana membenarkan saya beraksi. Terdapat beberapa peraturan yang saya jelas tidak terlalu faham.

"Saya negatif selepas Terbuka AS, negatif di Perancis, negatif di Rom tetapi positif di Hamburg. Itu sahaja yang saya tahu.

"Sukar bagi saya untuk memahaminya sebaik tiba di Hamburg dan mereka mengarahkan saya supaya kekal sahaja di bilik saya. Saya benar-benar tidak faham. Sejujurnya, ia bukan mudah bagi saya."

Paire akan mengambil bahagian dalam Terbuka Perancis dalam pemburuan gelaran grand slam di laman sendiri, bermula Isnin depan.