McLaren menarik diri daripada saingan pembukaan musim Formula Satu (F1), Grand Prix (GP) Australia, hujung minggu ini selepas salah seorang ahli pasukan diuji positif wabak koronavirus baru (Covid-19).

Perkara itu disahkan hari ini apabila seorang anggota kakitangan pasukan berkenaan telah diasingkan selepas "menunjukkan simpton serupa dengan koronavirus."

McLaren mendedahkan ujian ke atasnya didapati positif hingga mendorong mereka untuk menarik diri selain meletakkan perlumbaan itu dalam keraguan.

LaLiga turut terkesan apabila mengambil keputusan untuk menunda dua perlawanan selepas salah seorang daripada pemain bola keranjang Real Madrid disahkan positif Covid-19.


Liga utama bola sepak Sepanyol sebelum ini telah beraksi tanpa penyokong sejak beberapa minggu lalu tetapi langkah pencegahan yang lebih drastik mula diketengahkan, bermula di wilayah Madrid.

Madrid mengesahkan salah seorang daripada pemain pasukan bola keranjang telah disahkan positif Covid-19 memandangkan mereka berkongsi kemudahan latihan dengan skuad bola sepak di pangkalan Valdebebas.

Mereka telah diarahkan untuk dikuarantin.

Lantas, keputusan telah dibuat untuk menggantung sepenuhnya LaLiga untuk perlawanan yang akan datang.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu sepatutnya dijadualkan bertemu Valencia disusuli Eibar.

Malah, aksi timbal balik Liga Juara-Juara (UCL) menentang Manchester City di tempat lawan minggu depan juga dalam keraguan.