Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak peduli di mana perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) akan dilangsungkan di sebalik keraguan baru mengenai apakah pertemuan itu akan dilangsungkan di Istanbul, Turki.

City menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-0 pada pertengahan minggu ini untuk menjamin agregat 4-1 sekali gus menempah tempat ke final Liga Juara-Juara (UCL).

Chelsea pula memastikan wakil Inggeris menguasai pentas Eropah musim ini selepas mengatasi Real Madrid dengan keputusan sama di Stamford Bridge, kelmarin, untuk mara dengan agregat 3-1.

Persiapan final telah mencetuskan spekulasi tentang kedudukan venue itu mmemandangkan Turki dalam perintah terkurung berikutan kenaikan kes COVID-19 sementara United Kingdom (UK) semakin melonggarkan sekatan susulan kejayaan program vaksin yang dilancarkan.

Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) komited untuk mengekalkan aksi di Stadium Ataturk itu tetapi semalam, keadaan menjadi semakin rumit apabila Kerajaan UK memasukkan perjalanan ke Turki dalam "senarai merah".

Ini bererti sesiapa sahaja yang melancong ke negara itu -- termasuk peminat, pemain dan kakitangan kedua-dua buah kelab -- perlu dikuarantin selama 10 hari di hotel yang diluluskan oleh kerajaan sejurus kembali ke UK.



Pemain mungkin berdepan masalah memandangkan Euro 2020 dan Copa America 2021 akan bermula pada 11 Jun, 13 hari selepas final UCL.

Perubahan status itu berkuat-kuasa mulai 17 Mei iaitu pada hari yang sama perintah kawalan pergerakan peringkat kebangsaan Turki berakhir dan langkah itu tidak akan dinilai lagi dalam masa tiga minggu, ini bermakna kemungkinan tiada perubahan prosedur oleh pemerintah Inggeris menjelang perlawanan akhir berkenaan.

UEFA sedang berbincang dengan Persatuan Bola Sepak (FA) untuk langkah-langkah berikutnya dengan Villa Park disebut-sebut sebagai pilihan alternatif kerana Wembley dijadualkan menjadi tuan rumah final play-off Liga Kejuaraan pada 29 Mei.

"Saya cukup yakin UEFA akan memutuskan yang terbaik buat semua orang," katanya.

"Sekiranya kami perlu ke Istanbul, ia akan menggembirakan. Saya rasa situasinya bergantung kepada pandemik di sana tetapi jika mereka memutuskan untuk menukarnya ke negara ini atau di tempat lain sekalipun, kami akan tetap menaiki kapal terbang atau bas untuk sampai ke sana."