Joshua Kimmich melahirkan rasa kesal kerana tidak mengambil peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, tetapi menempelak mereka yang mengkritik keraguannya.

Pemain tengah Bayern Munich dan Jerman itu mengesahkan dia kini bersedia untuk mengambil vaksin selepas berbulan-bulan menangguhkan keputusannya dan selepas mengalami sendiri kesan yang tidak menyenangkan akibat pandemik berkenaan.

Pemain berusia 26 tahun itu menimbulkan kekecohan besar pada Oktober lalu apabila menjelaskan dia belum bersedia menerima dos pertamanya kerana menganggap vaksin masih kurang penyelidikan selain bimbang kesan jangka panjangnya.

"Secara amnya, sukar untuk saya menangani ketakutan dan kebimbangan. Itulah sebabnya saya menangguhkannya untuk sekian lama," katanya kepada penyiar Jerman, ZDF.





"Mungkin saya terpaksa melalui situasi seperti ini terlebih dahulu. Sudah tentu apabila mengenangkannya semula, saya ingin divaksin lebih awal tetapi pada masa itu saya berasa adalah mustahil saya boleh dijangkiti."

Kimmich tidak dapat diturunkan sejak 6 November lalu selepas dua kali terpaksa mengasingkan diri kerana menjadi kontak rapat dengan seseorang yang didapati positif.

Dia kemudiannya dijangkiti COVID-19 dan pada minggu ini mengesahkan bakal diketepikan hingga tahun depan kerana ia membabitkan masalah dengan paru-parunya. Dia memberitahu ZDF bahawa untuk kembali ke latihan penuh sekarang akan mewujudkan risiko terhadap jantungnya termasuk kesan yang lebih panjang.

Begitupun, Kimmich kecewa dengan beberapa reaksi terhadap keengganannya untuk divaksin lebih awal dengan berkata: "Secara peribadi ada reaksi yang keterlaluan.

"Ada pihak yang cuba mencipta nama melalui situasi ini. Ia tidak semestinya merupakan kritikan objektif.

"Kami sentiasa bercakap tentang rasa saling menghormati, toleransi, keterbukaan dan ini adalah nilai-nilai yang terlepas pandang terutama ketika perbincangan terhadap saya."

Kimmich telah mewakili Bayern sebanyak 18 kali musim ini dan Bayern, yang bakal beraksi secara tertutup di tempat sendiri berikutan sekatan baru yang dilaksanakan di Bavaria, memiliki enam mata di puncak Bundesliga selepas menewaskan Mainz 2-1 kelmarin.