James Rodriguez antara lima pemain Everton yang akan terlepas perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton berikutan perlu menjalani kuarantin.

Pengurus The Toffees, Rafael Benitez, mengesahkan pemain tengah menyerang itu merupakan salah seorang pemain yang tidak dapat digunakan khidmatnya dalam pertembungan dengan The Saints di Goodison Park, malam ini, berikutan protokol COVID-19.

Bekas pengurus Liverpool itu berkata: "Beberapa pemain kami perlu dikuarantin dan kami harus menanganinya.

"Kami perlu mengambil pendekatan berhati-hati dan beberapa pemain harus berada di rumah. James merupakan salah seorang daripadanya.

"Saya tidak akan menamakan pemain selebihnya kerana saya fikir adalah lebih baik tidak melakukannya."




Duo penyerang, Richarlison dan Dominic Calvert-Lewin, bagaimanapun hampir pasti diturunkan untuk menggempur pasukan bimbingan Ralph Hasenhuttl itu.

Richarlison kembali berlatih pada Rabu lalu selepas memenangi pingat emas buat Brazil dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, sementara Calvert-Lewin baru pulih daripada kecederaan jari kaki.