Ketua jurulatih Montreal Impact, Thierry Henry, berkata kelab dalam Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan seandainya kempen liga musim ini bersambung.

MLS digantung sejak bulan lalu berikutan pandemic Covid-19, yang telah membunuh lebih daripada 217,000 mangsa di seluruh dunia.

Awal bulan ini, MLS menunda perlawanan ke 8 Jun depan memandangkan Amerika Syarikat, yang merekodkan lebih daripada sejuta kes jangkitan, masih bergelut dengan wabak berkenaan.

Henry, yang pasukannya memungut empat mata daripada dua perlawanan pertama, berkata bahawa dia akan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Saya pasti pesuruhjaya (MLS) atau sesiapa yang terlibat untuk membuat keputusan itu sedang berusaha.Sudah pasti ia sesuatu yang amat sukar untuk menemukan apa yang sepatutnya dilakukan," katanya dalam satu perbualan video.

"Apa yang pihak kami boleh lakukan adalah fokus dan bersedia dengan segala yang akan berlaku.

"Mereka akan mengeluarkan keputusan, kami akan melakukan apa yang mereka mahu kami lakukan.

"Di bahagian saya, apa yang saya boleh lakukan adalah mencuba untuk memastikan pasukan saya, pegawai atau sesiapa sahaja bersedia menghadapi segala yang akan berlaku.

"Seperti yang anda katakan, saya dapat melihat bahawa mereka (Ligue 1 dan Eredivisie) mengambil satu hala dan satu laluan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada liga ini, kita perlu menunggu dan melihat dan bersedia terhadap apa yang akan berlaku," katanya.