Perlawanan akhir Coupe de France dan Coupe de la Ligue, yang ditunda sebelum ini, masing-masing akan berlangsung pada 24 dan 31 Julai ini, demikian disahkan Persatuan Bolasepak Perancis (FFF).

Kedua-dua perlawanan itu ditunda berikutan pandemik Covid-19 pada April lalu, dengan Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkan bahawa seluruh aktiviti sukan di negara itu digantung bagi mengawal penularan Covid-19.

Walaupun keputusan itu turut mengakibatkan saingan Ligue 1 ditamatkan lebih awal, FFF masih menangguhkan keputusan berkaitab dua perlawanan akhir piala itu, sambil mengharapkan kemungkinan untuk ia dapat dilangsungkan pada tarikh yang lebih lewat.

Dengan wabak berkenaan sudah semakin terkawal di Perancis, tarikh penghujung bulan depan dipilih untuk meneruskan kedua-dua kejohanan itu.

FFF semalam mengumumkan bahawa final Coupe de France di antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Saint-Etienne telah ditetapkan pada 24 Julai ini.

Seminggu kemudian, PSG akan bertemu Lyon pula dalam final Coupe de la Ligue.

Seramai 5,000 penyokong dijangka akan dibenarkan untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan final itu di Stade de France selepas kehadiran penyokong ke stadium dengan kapasiti yang dikurangkan akan dibenarkan bermula bulan depan.