Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mengumumkan saingan Serie A bagi kempen 2019-20 akan dilanjutkan sehingga 2 Ogos depan.

Semalam, UEFA mencadangkan agar kesemua liga tertinggi yang ditangguhkan akibat wabak coronavirus ditamatkan dengan sempurna sambil memberikan garis panduan buat saingan yang tidak dapat diteruskan.

Cadangan daripada jawatankuasa eksekutif UEFA itu menyaksikan kejohanan domestik dan Eropah dijalankan serentak apabila saingan kembali diadakan atau semua aksi domestikan diselesaikan sebelum kejohanan peringkat benua disambung pada Ogos depan.

Perbincangan akan diadakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Itali (AIC) mengenai lanjutan kontrak yang tamat pada 30 Jun nanti.

"Dunia bola sepak bekerja keras untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi menghadapi krisis Covid-19 termasuk langkah berjaga-jaga bagi kejohanan musim 2019-20," kata Presiden FIGC, Gabriele Gravina.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora, atas perhatian yang diberikan kepada kami dalam mesyuarat yang diadakan Rabu lalu. Kami mahu kembali dalam keadaan selamat kerana ia diperlukan selain itu perkara yang ditetapkan oleh badan antarabangsa."


Bagaimanapun, Gravina menolak kritikan yang mendakwa bola sepak telah diberikan layanan berbeza ketika tempoh krisis coronavirus.

"Saya hairan kerana terpaksa berulang kali bercakap tentang bola sepak terutama buat mereka yang memberi kenyataan mengenai sesuatu yang tidak mereka pasti," tambahnya.

Pasukan Serie A berharap dapat kembali menjalani latihan pada 4 Mei depan tatkala tempoh larangan di Itali akan disusun semula.