Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) mengumumkan bahawa pusingan akhir A-League musim 2019-20 akan ditunda kerana kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Liga itu telah dilangsungkan secara tertutup sejak pandemik Covid-19 dengan pasukan dari New Zealand, Wellingtin Pheonix, memilih untuk kekal di Australia bagi menamatkan baki musim ini.

Perlawanan di antara Newcastle Jets dan Merlbourne Citu di Stadium McDonald Jones awal pagi tadi turut dilangsungkan secara tertutup.

Bagaimanapun, dengan Australia memulakan larangan perjalanan dan negeri-negerinya menutup perkhidmatan bukan utama, A-League menghentikan liga mereka

FFA, yang berharap dapat menamatkan liga dengan penjadualan semula, akan menilai situasi semasa dalam beberapa minggu ini dengan keputusannya bakal diketahui pada 22 April ini.

"Keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan komuniti bola sepak dan masyarakat secara menyeluruh," kata Ketua Eksekutif FFA, James Johnson, dalam satu kenyataan.

"Sebagai sukan berasaskan penyertaan kelab terbesar dengan hampir dua juta peserta, kami mempunyai tugas yang jelas untuk memainkan peranan kami dalam melakukan apa sahaja bagi menyokong usaha memperlahankan penyebaran COVID-19.

"Bagi pihak Lembaga FFA dan setiap Kelab Liga A Hyundai, kami mengucapkan terima kasih kepada setiap pemain di atas bantuan mereka pada masa-masa yang luar biasa ini.

"Kami telah melakukan segala-galanya untuk memastikan kebajikan fizikal dan mental setiap pemain dan kakitangan kelab, dan keputusan ini bermakna bahawa, seperti majoriti rakyat Australia, mereka kini boleh pulang ke rumah untuk bersama keluarga mereka dalam waktu yang sukar ini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli, penaja, sukarelawan dan peminat di atas sokongan yang berterusan pada waktu yang belum pernah berlaku ini," katanya.