Sampdoria mengesahkan empat pemain pasukan utama termasuk salah seorang kakitangan perubatan kelab itu positif koronavirus baru (Covid-19).

Semalam, kelab Serie A itu mengumumkan Omar Colley, Albin Ekdal, Antonino La Gumina dan Morten Thorsby termasuk doktor kelab, Amedeo Baldari, telah dijangkiti wabak pandemik berkenaan yang merebak dengan pantas di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

24 jam sebelum itu, Sampdoria mengesahkan bahawa Manolo Gabbiadini menjadi pemain Serie A kedua selepas pemain pertahanan Juventus, Daniele Rugani, positif Covid-19.


Itali menjadi negara paling teruk -- di luar China -- dilanda pandemik itu dengan angka kematian melebihi 1,000 orang.

Kerajaan Itali telah menggantung semua acara sukan sehingga 3 April depan disebabkan wabak itu dan mengenakan perintah berkurung dengan menutup semua kedai kecuali kedai makanan dan farmasi ditutup.

Semalam, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ligue 1 diikuti Bundesliga bertindak menangguhkan kesemua perlawanan sehingga awal bulan depan sementara LaLiga telah melaksanakannya seminggu lebih awal.