Pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny, dikesan positif COVID-19 ketika mewakili Mesir.

Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) mengesahkan perkembangan Elneny itu sejurus pasukan berkenaan tiba di Togo menjelang kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 di antara kedua-dua negara, tengah malam ini.

Pemain itu dalam keadaan baik dan tidak bergejala, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh EFA di Facebook dan pemain itu telah kembali ke Kaherah.

Mesir sudah pun kehilangan Mohamed Salah yang dijangkiti pandemik itu minggu lalu.

Menurut garis panduan di United Kingdom (UK), Elneny perlu menjalani kuarantin sebelum dibenarkan kembali ke England.

Sehubungan itu, The Gunners tidak dapat mengetengahkan tonggak berusia 28 tahun tersebut -- yang telah membuat lima penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama pasukan kendalian Mikel Arteta berkenaan musim ini sejak kembali daripada pinjaman di Besiktas -- untuk bertandang ke Leeds United, tengah malam Isnin depan.

Arsenal juga bakal mengharungi kempen Liga Europa menentang Molde pada 26 November sebelum menjadi tuan rumah kepada Wolves, tiga hari kemudian.

Sementara itu, EPL mengumumkan 16 kes baru COVID-19 ke atas pemain dan kakitangan dalam ujian saringan di antara 9 hingga 15 November.

Ini adalah kali pertama jumlah kes positif meningkat dua kali ganda sejak pusingan keempat ujian saringan itu dilakukan pada akhir September lalu.