Covid-19: Del Piero gesa AS berwaspada

Shaiful Shamsudin
Mac 16, 2020 00:37 MYT
Bekas pemenang Piala Dunia 2006 bersama Itali sepakat mengumpulkan dana untuk memerangi wabak koronavirus baru (Covid-19) sambil legenda Azzurri, Alessandro Del Piero, memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa keadaan akan bertambah buruk.
Bekas penyerang Juventus itu menyiarkan mesej berkenaan di Instagram ketika mengumumkan hasrat untuk mengumpul dana yang melibatkan bintang yang membantu kemenangan Itali dalam edisi 2006 termasuk Francesco Totti, Fabio Cannavaro dan Gianluigi Buffon.
Del Piero menerajui kempen itu dalam usaha mengumpulkan dana buat pasukan Bulan Sabit Merah Itali dan memberitahu pengikutnya seramai 3.7 juta orang: "Anda adalah sebahagian daripada pasukan kami juga."
Dalam temu bual dengan Sky Sport Italia, Del Piero -- yang menetap di Los Angeles -- berkata Amerika Syarikat (AS) kini sedang melalui tahap pandemik di mana tanah airnya pernah lalui dua minggu lalu.
"Kami pada dasarnya sedang mengalami apa yang Itali telah lalui dua atau tiga minggu lalu," kata Del Piero.
"Tiada nasihat yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan, jadi orang ramai membuat pembelian panik di pasar raya.
"Kami sebagai warga Itali sering mengikuti apa yang berlaku di kampung halaman jadi kami lebih bersedia.
"Amerika tidak akan kebal daripada koronavirus."
#Alessandro Del Piero #Piala Dunia #Covid-19