Covid-19: Bekas penjaga gol Barca, Rustu, sah positif

Muzaffar Musa
Mac 29, 2020 01:53 MYT
Penjaga gol legenda Turki, Rustu Recber, ditahan di hospital selepas disahkan positif Covid-19, demikian disahkan isterinya, Isil.
Bekas penjaga gol itu menghabiskan kebanyakan eranya bersama kelab gergasi Super Lig Turki, Fenerbahce, termasuk ketika dipinjamkan sewaktu tempoh tiga tahunnya di Barcelona.
Bintang Piala Dunia 2002 itu hanya diturunkan sebanyak tujuh kali sewaktu mewakili Barca -- kesemuanya dalam musim 2003-04 -- sebelum bersara pada usia 39 tahun dengan 120 penampilan antarabangsa pada 2012.
Isil memberikan makluman dalam laman Instagramnya bahawa Rustu, 46, disahkan telah dijangkiti virus berkenaan.
"Saya ingin memberikan anda berita yang lebih positif semasa berkongsi kebenaran dengan cara yang paling telus tetapi saya minta maaf untuk menyatakan bahawa suami saya, Rustu, dimasukkan ke hospital dengan diagnosis Covid-19.
"Kami terkejut dengan gejala pesat yang berkembang secara tiba-tiba ketika segala-galanya kelihatan normal. Ini adalah waktu yang kritikal dan sukar.
"Semoga Allah memberikan bantuan kepada semua pesakit, termasuk suami tercinta saya.
"Satu-satunya permintaan saya adalah supaya orang ramai boleh menjadi lebih bijak dan lebih menghormati dalam proses ini.
"Dalam ujian yang telah kami lakukan, anak perempuan dan anak lelaki saya didapati negatif dan hanya suami saya disahkan positif.
"Disebabkan ini, kami perlu berada di rumah sementara dia berada di hospital, dan kami tidak dibenarkan melawatnya.
"Malah, ini adalah waktu yang paling sukar dan kami tidak dapat berada bersamanya.
"Allah maha pemurah dan kami bergantung kepada-Nya dan doktor-doktor Turki. Saya harap ia akan berlalu," katanya.
#Covid-19 #Rustu Recber