Perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di antara Juventus dan Lyon akan diadakan pada 7 Ogos depan, demikian kata presiden kelab Ligue 1 itu, Jean-Michel Aulas.

Lyon meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama di Perancis, Februari lalu hasil jaringan Locas Tousart.

Kejohanan itu kemudian terpaksa ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19 pada Mac lalu dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman berkenaan tarikh saingan itu akan bersambung.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Turki (TFF) berkata mereka akan meneruskan saingan Super Lig musim ini supaya ia dapat ditamatkan sebelum final Liga Juara-Juara, yang akan diadakan di Istanbul pada Ogos depan.

Aulas kini mendakwa bahawa perlawanan pasukannya dengan Juve di Stadium Allianz akan diadakan pada awal bulan tersebut.

"Perlawanan dengan Juventus sah akan diadakan pada 7 Ogos depan di Turin dan secara tertutup," katanya kepada RTL.

Saingan Ligue 1 musim ini ditamatkan lebih awal selepas pihak berkuasa Perancis melarang sebarang aktiviti sukan di negara itu sehingga September depan.

Paris Saint-Germain (PSG) disahkan sebagai juara berdasarkan purata mata bagi setiap perlawanan manakala Lyon menamatkan saingan di tempat ketujuh dan gagal ke saingan peringkat Eropah musim depan.