Philippe Coutinho beraksi seperti "menari dengan bola" sambil peminat Bayern Munich dan Paderborn pasti menikmati persembahannya ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Bundesliga malam tadi, kata pengurus, Niko Kovac.

Perancang tengah, Coutinho, yang sedang dipinjam daripada Barcelona, memainkan peranan utama ketika Bayern menewaskan Paderborn 3-2, dengan membantu jaringan pembukaan Serge Gnabry dan menjaringkan gol kedua pasukannya.

Dia menyinar ketika mula menyertai Bayern dan Kovac memuji kelibatnya ketika aksi di Benteler-Arena itu.

"Aksi Coutinho menceritakan tentang dirinya. Di akhir perlawanan, semua orang di stadium yang menyaksikan perlawanan hari ini dapat melihat dia mengawal bola dengan kualiti yang dimiliki," kata Kovac.

"Dia sering dilihat seperti menari dengan bola, itu yang anda harus katakan. Dia tahu apa yang perlu dilakukan, bagaimana dan di mana.

"Jaringan pertama menyaksikan dia memberi bantuan yang bagus, namun selepas itu melakukan hantaran, dia juga mahu menyumbat gol.

"Untuk jaringannya, kombinasi yang dipamerkan sangat hebat. Gnabry membantunya menerusi hantaran cantik. Itu adalah kualiti individu.

"Dia pantas membantu kami, memberi sumbangan dan gembira di sini.

"Apabila pemain dari Amerika Selatan, dari Brazil, gembira, itu adalah kualiti dan anda boleh lihat kehebatannya.

"Tidak kira sama ada peminat Paderborn, Bayern atau mana-mana pasukan, anda telah menikmati persembahannya."

Bayern mendahului 2-0 selepas jaringan Coutinho pada minit ke-55 tetapi usaha daripada Kai Proger dan Jamilu Collins sebelum gol Robert Lewandowski memastikan aksi terus rancak.

"Kami membuatkan aksi sukar buat diri sendiri," tambah Kovac.

"Kami tidak dapat membuat keputusan sebelum rehat. Bagi saya, kami perlu melakukannya. Dalam babak kedua, mendahului 1-0, 2-0 atau 2-1, ia kelebihan kecil.

"Kami membuatkan lawan bangkit. Bayern tidak beraksi seperti dimahukan dalam babak kedua tetapi saya berpuas hati dengan keputusan.

"Melihat gaya permainan kami, jelas sekali saya tidak berpuas hati. Namun, tidak banyak perlu ditambah."