ASTON VILLA 3 LEEDS UNITED 3

Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard, teruja dengan aksi bertenaga Philippe Coutinho ketika seri dengan Leeds United, awal pagi tadi, sambil yakin Jacob Ramsey bakal bergelar pemain antarabangsa England tidak lama lagi.


Villa terikat 3-3 dengan Leeds di Villa Park apabila membenarkan pelawat bangkit daripada ketinggalan 1-3 dalam separuh masa pertama pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Coutinho dan Ramsey menjadi watak penting untuk Villa mendahului -- pemain Brazil itu membatalkan gol pembukaan awal Daniel James dengan penyudah yang baik sebelum mencipta gerakan untuk jaringan Ramsey.

Ia adalah kali pertama Coutinho terbabit dengan tiga gol dalam sesebuah perlawanan sejak Ogos 2020 -- kali terakhir dia membantu Bayern Munich membelasah kelab induknya, Barcelona, 8-2 dalam Liga Juara-Juara.

Coutinho bergelut sejak meninggalkan Liverpool, Gerrard sebaliknya seronok melihat sentuhan bekas rakan sepasukannya itu.

Dia berkata: "Melihat persembahan Philippe malam ini, ia bukan sekadar jaringan dan hantaran golnya. Jika anda tidak suka melihatnya maka anda tidak sepatutnya menonton bola sepak.

"Beberapa perkara yang dia telah lakukan di sini benar-benar indah.

"Ia adalah kelibat vintaj Philippe Coutinho pada malam ini. Dia pastinya makin dekat dengan tahap terbaik yang menyaksikan seluruh dunia pernah bercakap mengenainya.

“Dia masih perlu melakukan penambahbaikan dari sudut fizikal tetapi daripada segi kemampuan teknikalnya, anda tidak mampu mewakili Brazil dengan kerap atau menjadi bintang dunia tanpa bakat seperti itu.

"Dia akan menjadi lebih baik lagi. Kami gembira untuk bekerjasama."






Ramsey, 20, pula masih menunggu panggilan kebangsaan tetapi Gerrard -- yang mewakili skuad The Three Lions sebanyak 114 kali -- menegaskan pemain tengah berbakat itu semakin layak untuk disenaraikan.

Gerrard tidak mahu sebarang perbandingan dibuat di antara dirinya dan Ramsey sekalipun dia menganggap produk akademi Villa itu memenuhi segala standard yang dituntut.

"Dia tidak mengikut jejak sesiapa, Jacob Ramsey ialah Jacob Ramsey," sambungnya.

“Dia akan menjadi pemain yang hebat dan tidak lama lagi seluruh negara akan memerhatikannya. Saya pasti kerana dia sedang menuju ke tahap terbaiknya.

“Saya tahu tahap untuk England, saya pernah berada di sekelilingnya dan mempunyai pengalaman yang cukup untuk menyedarinya. Jacob hanya menunggu masa tetapi marilah kita semua bertenang mengenainya.

"Saya mahu dia menjadi tajuk berita dengan bola sepaknya sendiri. Dia adalah bakat terbaik, saya suka bekerja dengannya pada setiap saat. Dia semakin mantap dalam setiap perlawanan kerana kami menawarkannya pelantar untuknya mengekspresikan dirinya. Dia berada di satu tempat yang indah."