Thibaut Courtois mengintai pertembungan dengan Sepanyol tatkala Belgium bersedia untuk memulakan kempen kalah mati Piala Dunia 2018.

Penjaga gol Chelsea itu menghabiskan tiga musim yang cemerlang semasa dipinjamkan di Atletico Madrid dengan Diego Costa dan Koke turut dinamakan dalam skuad Sepanyol.

Membintangi Liga Perdana bersama Chelsea, Courtois membantu Belgium mencapai pusingan kalah mati dalam temasya Russia 2018 dengan mata maksimum.

Menjelang pertemuan pusingan 16 dengan Jepun awal pagi Selasa ini, Courtois sudah melirik kepada aksi perlawanan akhir.

"Sudah tentu saya mengimpikan untuk beraksi dalam perlawanan akhir Piala Dunia, terutama menentang Sepanyol, kerana saya mengenali ramai pemain di sana, ia akan menjadi pertembungan yang menarik," kata Courtois.

"Sepanyol telah beraksi baik ketika menentang Portugal walaupun mereka bolos tiga gol. Malah, dibolosi dua gol oleh Maghribi.

"Saya berasakan mereka telah bermain dengan baik, namun mereka tetap dibolosi," katanya.

Sepanyol akan bertemu Russia dalam pusingan 16 manakala Belgium akan menghadapi pemenang di antara Brazil dan Mexico sekiranya mara ke suku akhir.